>

Friday, July 26

Cinta Kita 8.

image

Aku melintasi seorang pengemis jalanan, tua usianya. Tidak terurus pula gayanya. Susut sekali susuk tubuhnya. Aku ada juga menyoal di dalam minda, sudah berapa lama agaknya perut tidak diisi dengan makanan yang enak sahaja. Berapa lama tidak merasakan kehidupan yang selesa. Tapi, aku seperti biasa hanya meninggalkan manusia sebegitu tanpa mempedulikan mereka. Pandailah mereka untuk berusaha.

Setelah melintasi pengemis tadi. Aku terpandang satu anak kecil. Kecil, kecil sekali. Dia membawa satu gelas berisi air. Air putih isinya. Aku tergamam, aku terdiam. Seorang anak kecil, seusia anak aku yang 10 tahun usianya memberi minum seorang gelandangan yang tidak bermaya.

Ada masa hati tersentuh bila melihat seseorang menyucikan sesuatu yang sudah nampak keruh.

Aku kembali ke jejak aku ke belakang. Aku berpatah balik pada laluan yang baru sahaja dilalui. Aku kembali pada pengemis jalanan yang tua tadi. Aku memberikan apa yang aku punyai. Moga hari ini dia mampu suka hati. Senyuman terukir di wajah sang tua tadi. Cuma satu yang aku perasan, makanan yang aku beri tadi tidak dijamah terus. Duit yang diberi diselit rapi di sisi tepi.

Aku menyoal padanya, " Pak cik tak nak terus makan? Tak lapar ke? " Ringkas jawapannya, " Balik nanti pak cik makan nak. Pak cik nak makan bersama dengan anak pak cik."

Aku tunduk memahami. Pelajaran kehidupan hanya mampu diperoleh dengan pengalaman. Ianya daripada sebuah perkongsian.

Aku cuba mengubah persepsi diri. Jangan pernah berfikir banyak kali andai ingin memberi. Ada masa kita mungkin ditipu, ada tika kita mampu untuk berbakti. Jangan hanya kerana kita ditipu berkali-kali buat kita payah untuk beramal sekali.

Mungkin di mata kita pengemis jalanan malas berusaha. Gelandangan hanya menanti simpati sahaja. Tapi, siapa kita untuk mempersoalkan rezeki yang diberikanNya. Di mata manusia, kita nampak bezanya. Kita nampak manusia kaya, kita nampak juga si miskin yang ke hulu-hilir menjaja. Bukan pula di mataNya.

" Hari- hari , kita tertanya tanya ingin makan dengan menu yang mana. Saat insan lain bertanya mahu suapkan makanan pada anak yang mana. "

Dalam kehidupan, kaya itu tidak menjamin kebahagiaan. Tapi, ianya mampu membekalkan senyuman. Miskin itu tidak memberikan kesusahan. Tapi, ianya mampu memberikan lebih kekuatan.

 " Hari ini, kita mencari makna kesetiaan, ketaatan kepada Tuhan hingga ada masa kita abaikan nilai kemanusiaan. "

Biarkan cinta itu ke arah yang murni, biar ianya mampu mewarnai kehilangan yang dicari.


Tolong menolong amalan mulia,
untuk manusia yang punyai jiwa.





2 comments:

Anonymous said...

Thumbs up! :)

Wook said...

thank you :)

Copyright © 2010 |Learntobetheperfectsecretadmirer .blogspot | All Righted Reserved