>

Monday, March 3

Salah siapa, salah siapa?

nzakrh:

Oh Allah, (help me) make today better than yesterday, and tomorrow better than today.

Oh Allah, 
(help me) make today better than yesterday, and tomorrow better than today.

Hari ini aku dirotan lagi, di depan kawan-kawan. Pedih dan sakit hati, rasa benci aku makin meluat-luat. Tuhan, kelakar bukan. Aku disuruh, tak, aku rasa seolah aku dipaksa untuk melakukan sesuatu yang aku tidak pernah diajar untuk melakukannya. Paling penting, aku tak pernah dimarahi, dirotan sebegini hanya untuk sesuatu yang aku tidak pernah diajar untuk melakukannya. Dan, aku juga tidak pernah melihat kedua ibu bapa aku melakukannya. Solat? Tuhan? Yang langsung tidak pernah aku kenal.

Lagipun, aku tidak pernah melihatnya. Kenal bagaimana rupanya. Tiba-tiba, hari ini masuk hari yang keberapa sudah. Aku terus dirotani hanya kerana sesuatu yang aku tidak pernah melaluinya. Bagi aku mudah, apa guna aku melakukan pergerakan itu yang langsung aku tidak pernah tahu. Sedangkan hati aku terlalu membencinya. Mungkin aku tidak membencinya, cuma aku tiada lagi rasa ingin mendekatinya.

Payah bukan? Soal hati, bila ianya berbolak-balik.
Dan, waktu itu, tiada tempat untuk hati ini terus mengadu.
Kerana kekosongan yang terus menebalkan titik-titik hitam.

Tapi, itu dulu.

Hari itu, saat aku melihat mereka. Dua malaikat yang benar aku sayang. Terbujur dan terbaring. Kaku, lesu, langsung aku hampir tidak mengenali mereka. Yang aku dengar, mereka terlibat dalam satu kemalangan. Hari itu, aku terus yatim piatu. Seolah tiada hala tuju.

Waktu itu, saat ustaz datang. Sejurus selepas mereka menunaikan solat jenazah. Aku bergegas mencapai tangan ustaz. Ustaz, aku memeluknya sekuatnya. Kebencian, rasa meluat yang aku simpan, yang aku pendam penuh rasa dendam. Lenyap dalam sekelip mata. Hari itu, saat aku memeluknya dengan tangisan, aku memintanya sesuatu. Ustaz, ' hari ini ajarkan saya untuk solat apa yang ustaz lakukan sebentar tadi. '

Hari itu, bermulanya hari itu.

Aku seolah mendapat nafas yang baru. Hala tuju yang baru. Rindu, selalu wujud di dalam hati aku. Tapi, saat dahi aku sujud pada Tuhan yang satu. Seolah, Tuhan tahu dan sampaikan rasa rindu itu.

Hari ini, aku semestinya merasakan sedih di dalam hati. Tentang 10 atau 20 tahun dulu. Jika bukan kerana kasih dan sayang. Aku mungkin tidak akan menjadi seperti hari ini. Benar, mereka mungkin melakukan kesilapan, terbuai dengan keseronokan yang difikirkan akan terus berpanjangan. Lupa akan hari perhitungan. Dan aku merasakan syukur, aku tidak melalui apa yang dilalui oleh mereka. Sekurangnya, moga bakti aku dari dulu hingga kini mampu mengurangkan sakit-sakit atas apa kesilapan yang dilakukan mereka dahulu.

Aku juga telah memberikan cerminan yang baik untuk anak-anakku. Biar luka lama tak berdarah kembali.

Biar kejahilan yang aku lalui tidak disambung akan legasi yang baru.

Jika hari ini, kita terus menuding jari mencari salah siapa.
Barangkali, kita mungkin tidak akan ke mana.

Salahkan kerajaan kerana tiada tegakkan agama.
Sedangkan anak-anak sendiri makin lesu dengan kurangnya didikan agama.

Salahkan guru-guru agama yang kurangnya perhatian.
Sedangkan kita sendiri tidak pernah memberikan sepenuh didikan.

Salahkan ibu bapa yang tak mengajar siapa Tuhan?
Sedangkan kita tidak pernah ada usaha untuk mengenali pencipta kehidupan.

Tiadakah rasa sedih,
saat kita sedang menuding jari mencari salah siapa.

Insan lain,
sedang teguh menuding jari kepada kita.

Lalu, kita mula sedar kita juga punya salah dan dosa.

Cuma, hari itu segalanya berbeza,
kita bisu tanpa kata, kaku tiada lagi pergerakan anggota.

Saat itu tiada lagi undurnya masa.


Hari-hari, 
berikan setiap didikan kepada setiap manusia di sekeliling kita,
khabarkan ibarat tidur kita lena dengan mimpi,
esok hari kita akan bangkit lagi.

Hingga satu hari,
kita akan tidur yang lamanya dipanggil mati,
bila tenang atau selesai azab kecil itu nanti,
suatu masa kita dihidupkan kembali.
Hidup yang tiada lagi mati.

Hidup yang hanya amal di sini, keputusannya diketahui di sana nanti.


Ikhlaskan hati,
seolah kita memberi,

tapi langsung tiada rasa kurang di dalam diri.



Ditulis oleh,

Syakir Salman Latif
( 3 MAC 2014 )



2 comments:

Anonymous said...

oh hati!!ikhlas lah! :)

Wook said...

insyaallah. moga kita sama-sama terus diberikan hati yang ikhlas di jalannya. :)

Copyright © 2010 |Learntobetheperfectsecretadmirer .blogspot | All Righted Reserved