>

Monday, January 13

Ya Rasulullah.

yourcupofcoffee:

The whole World is your Mosque.. 
 
" Tanggungjawab pada Tuhan itu di mana-mana,
pada penyebar risalah Tuhan jangan pula dilupa"
- Tuhan ada di mana-mana. -

Di kala malam saat kami hidup dalam kegelapan,
kau datangkan bintang dan bulan,
yakini kami setiap kesusahan ada kemudahan.

Di kala siang saat kami berlindung panasnya mentari,
kau datangkan awan yang mendung buat kami syukuri,
yakini kami setiap yang hidup hadapi mati.

Di kala hujan saat kami kesedihan,
kau payungkan kami dengan hikmah kegembiraan,
yakini kami setiap dugaan ditambah kekuatan.

Ya Rasulullah,
Ya Habibullah,

Walau dihina,
masih gagah perjuangkan agama,
walau dicerca,
akhlaknya mulia,
walau tidak diterima,
tiada pula berputus asa.

Pada manusia yang sering berdosa,
diingatkan tentang Pengasihnya yang Kuasa,
pada jiwa yang terluka,
diingatkan pada Pencipta yang terus membela.

Ya Rasulullah,
Ya Habibullah,

Yang membela wanita,
yang menjaga jiwa yang tiada upaya,
yang menyemarakkan semangat remaja.

Yang disebut seluruh semesta,
yang berterusan disanjung atas segala jasa.

Ya Rasulullah,
Ya Habibullah,

Saat ingin tinggalkan dunia,
kau berterusan sebarkan cinta,
bukan cinta pada sahabat yang berjuang bersama,
tapi cinta pada Umat yang langsung tidak mampu dilihat oleh Baginda.

Ditinggalkan dua bekalan dunia,
biar manusia menuju ke Syurga.

"Umatku, Umatku, Umatku"
Itu kata akhirmu,
tanpa memikirkan apa amal umatmu,
kau berterusan percaya tanpa adanya ragu,
 bahawa Tuhan itu Allah yang satu,
Islam itu pegangan yang jitu,
Syurga itu destinasi dituju.

Tempat yang tiada lagi jiwa yang terluka,
tempat yang kekal selamanya.

Ya Rasulullah, Ya Habibullah.

Salam Maulidur Rasul.

Buat kekasih Tuhan,
yang menerangi dunia tanpa batasan.

Sebab sayang ini,
bukannya untuk ditunjuk seluruh penduduk bumi,
bukannya sekadar berjanji sehidup semati,
tapi, sayang itu bagaikan pelangi,
cantiknya tak datang hari-hari,
bukannya kerana tiada sayang lagi,

cuma sayang hanya timbulkan diri,
bila diri lupa betapa dekatnya rahmat Ilahi.

Allahu Rabbi.

No comments:

Copyright © 2010 |Learntobetheperfectsecretadmirer .blogspot | All Righted Reserved