>

Sunday, September 1

Cinta Mi Segera 1


Carik-carik bulu ayam,
bukan sayang namanya bila buat diri lemas dan tenggelam.

Nama aku Mamat. Bukan mamat meroyan di jalanan. Bukan juga mamat romeo yang ingin mati di usia pertengahan. Aku masih bujang, lelaki yang mengharapkan satu kebahagiaan. Kebahagiaan yang aku ingin kecapi daripada sebuah perkahwinan. Tapi, ada masa aku hairan, bila lelaki dikategorikan sebagai buaya di daratan. Bukan mengapa, sebab aku cuba menilai sesuatu berdasarkan pengalaman, aku memahami sesuatu melalui pembacaan, aku mencapai sesuatu dengan memasang impian. Tapi persoalan itu masih tinggal kosong tanpa jawapan. Kerna hanya kerana beberapa jantan yang mempermainkan perasaan mengapa calitnya terkesan pada semua lelaki yang masih wujud kesetiaan? Aku percaya dengan kata-kata orang tua tetapi tidak bermakna segala kata-kata orang lama mampu memberikan segala penerangan. Benar, memang kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Tapi, tidak bermakna susu yang rosak kerana nila tidak lagi ada fungsinya. Masih ada susu rosak yang mampu disiram menghilangkan kedahagaan pada sang bunga.

Pernah aku terdengar, ramai sekali kawan wanitaku yang mudah sekali menjual maruah diri pada sang jejaka. Murah sekali harga cintanya, mudah sekali termakan dengan kata-kata manis pria pujangga. Tapi, tidak bermakna aku mengubah haluan untuk bercinta dengan sang jejaka. Aku masih teguhkan setia, aku masih berterusan percaya, pasti ada si solehah di luar sana. Menyua nikmat di malam pertama, setelah lafaz nikah terlerai bersaksikan keluarganya.

Cinta itu ibarat mi segera,
rasanya membangkitkan selera,
hebat-hebat rasa, cukup-cukup rasa,
siapa tahu di lain masa,
kerana mi segera kau sakit pula,
menyesal sekalipun tidak berguna,
setelah bila selera kau telan jua,
bila sakit kau salahkan pula.
Bukankah pada mulanya kau sendiri yang memilih untuk merasa?

Aku lelaki bujang yang hanya menunggu masa memberi hantaran. Buat si gadis yang menjadi pujaan. Yang buat siangku hanya berangan, yang buat malamku sentiasa di awangan. Tapi, sebelum aku cuba untuk memiliki seorang gadis. Aku perlu menilik diri sendiri. Melihat di depan cermin kerna aku tahu. Lihatlah dirimu pada setianya cermin. Ianya tidak akan menipu mengenai fizikalmu. Walau kau cacat sekali dia tetap setia untuk tunjukkan dirimu yang sebenar, yang tidak perlukan Photoshop untuk buat kau berseri, apa lagi perlukan suplemen kak Ton untuk kau melaram seperti bidadari. Untuk memiliki, kau perlu menguasai. Bukan semua cinta senang dibeli. Bukan semua wanita hanya duit yang dia peduli. Bukan semua perawan hanya rupa yang diingini. Tapi, semua manusia inginkan cinta menjadi peneman diri, biar sampai ke Jannah berteman selamanya dengan rahmat Ilahi.

Setiap perhubungan pasti ada sandiwara, setiap perjalanan punyai halangan yang menduga.
Tapi, tidak bermakna kau perlu terus putus asa.
Jangan pernah menyerah selagi ada yang Kuasa.
Dari dia segalanya datang, pasti pada dia juga kita semua kembali jua.

Aku masih ingat pesan mak, sebelum aku keluar dari desa pergi menjelajah ke kota raya. Katanya, " manusia masing-masing berbeza. Bukan semua punya niat dan hati yang sama. Tapi ingat, jangan pernah timbul prasangka hanya dengan mengenalinya buat seketika. Jangan mudah memberi bila kita tak merasa, jangan terasa bila kita tidak pernah dijemputnya. "

Kata-kata itu juga yang aku pegang erat-erat.
Yang aku cincang sampai lumat.
Biar suatu masa aku tidak terjerat.

Mungkin sebab itu, aku sedar di kota raya yang sesak dengan manusia.
Aku perlu berjuang sebaiknya.

Cinta aku bermula, bila aku berjumpa dengan si dia.
Nur Dayana pemilik nama.
Gerangan cantik baiknya bergula.
Cukup senyumannya diriku tergoda.
Hanya katanya buatku tak bernyawa.
Dengan gayanya akalku mulai gila.

Cinta kami biasa saja. Aku hanya pelajar tahun kedua di universiti di Malaysia. Dia pula lebih berusia, tapi aku tidak menjadikan itu alasan penghalang cinta. Dia hanya pekerja biasa di satu kedai runcit yang selalu aku singgah di hujung minggu, untuk kami saling berjenaka. Paling penting di kedai itu, tempat aku mendapatkan stok mi segera untuk mengisi perut menyedari diriku yang kurang berharta.

Aku masih teringat akan kata-katanya, saat itu, aku mula mengubah persepsi untuk memahami cinta, dia pernah berkata. " Jika cinta kerana rupa, kau hilangnya bila kau buta. Jika cinta kerana harta, kau muflisnya bila kemewahannya tiada. Jika cinta kerana usia, kau mungkin nyanyuk dalam mengingatinya bila menjelangnya tua. Jika kau mengatakan kerana cinta kau derita, itu bukan cinta namanya. Yang nama derita itu bukan cinta, tapi hakikat dalam menelannya. Kerana bukan cinta yang buat kau normal dan terus bernyawa, tapi pemilikNya. "

Saat itu,
aku mula dilamun cinta.
Aku terkapai bernafas dalam kotak cinta.

Aku mula ingin mengenalinya.
Aku ingin mencintainya, meluahkan kepadanya.

Tapi, katanya,
" lengkapkan dirimu dahulu dengan agama. Kerna jika cinta yang membuat aku gila, itu tidak mengapa. Tapi, jika cinta itu yang membuatku jahil dengan agama, aku tidak mampu menangung murkanya. Aku tidak mahu menghampiri cinta yang buat diriku binasa, di akhirnya menjerumus diri ke lembah neraka. "

Sekali lagi,
katanya membuka getar di hati.

Aku mula memahami.
Bukan jatuh cinta yang aku alami.

Tetapi, gelapnya hati.

Kerna,bila hati itu gelap.
Diri mula malap.

Saat itu,
satu yang aku sedar.

Berserah pada Tuhan dengan penuh mengharap.



No comments:

Copyright © 2010 |Learntobetheperfectsecretadmirer .blogspot | All Righted Reserved