>

Monday, July 1

Naskah Kehidupan 1.




Adakah mampu mati dalam iman,
bila hidup tidak pernah mengenal Tuhan pemberi kehidupan?

Aku mata dalam igauan aku sendiri. Aku terhenti dengan persolan yang dicipta sendiri. Aku tercari-cari apa erti mati bila akan hidup lagi? Apa guna diseksa dengan yang tidak sujud pada pencipta bumi, sedangkan tak pernah minta untuk diciptakan begini? Aku cuba untuk soal dan tanya lagi. Tapi, aku sedar hidup ini aku hanya mampu menuding jari. Menyalahkan sesama manusia, cuba lari daripada kesilapan sendiri.

Memang masing-masing mempunyai hak sendiri. Aku juga sedar bahawa mati itu seorang diri. Tapi, mungkin ramai yang lupa bahawa urusan selepas mati itu bukanlah seorang diri. Bila diri masih hidup, diri memang mampu cakap dengan penuh berani. Tapi bila jasad ditelan bumi bimbang juga jika minta diberi peluang hidup sekali lagi.

Sebab bila manusia pergi, jasad yang bernyawa ditugaskan untuk menguruskan si mati.
Eh, kenapa harus bercakap pasal mati? Sebab semua yang hidup pasti akan merasai mati.
Dan mati pula hanya sekali.

Sebab kita boleh lari dari realiti dengan bermimpi,
tapi tidak dari diadili oleh Ilahi sejurus mati.

Aku cuba katakan pada dia, masih ada peluang untuk menyahut. Masih ada ruang untuk terus berpaut. Selagi dirimu masih terus untuk menurut segala yang patut.

Dulu, aku pernah teringat. Sebelum arwah pergi, dia tinggalkan satu amanat. Satu pesan yang benar-benar seakan azimat. Seakan terjawab yang tersurat juga tersirat.
Kata dia, " Pesan Ilahi bukan hanya untuk dibuat sebagai pesanan. Tapi dikongsi untuk terus menempuh kehidupan. "

Eh, apa maksudnya.
Aku cuba mencari jawapannya.

Malam itu, aku sunyi sekali. Benar, aku mungkin seorang lelaki. Tapi, ada masa aku juga ada perasan gerun di hati. Saat sepi, aku cuba mencari peneman diri. Tapi, sayangnya tidak juga aku jumpai.

Aku terpandang akan satu naskah yang seolah-olahnya bercahaya. Seakan-akan memanggil diriku untuk menggapainya.  Jahil! Mungkin, itu ucapan terbaik buat diriku bila aku mendekatinya. Satu naskah yang penuh dengan halaman, pedoman sudah lama tersadai di atas meja. Lama sudah aku tidak membukanya. Apa lagi untuk membaca tafsirnya.


Itu naskah kehidupan.
Yang hanya dicari bila timbul kekesalan.

Malam itu, tangis menjadi peneman diri.
Aku mula sedar, aku tidak lagi sendiri.

Cukup untuk berpaut di laluan ini :

Bagaimana mungkin,
kita hidup sentiasa di siang hari,
tapi mendekati mati di malam hari.

Sebab itu bila hidup tidak perlu sendiri.


No comments:

Copyright © 2010 |Learntobetheperfectsecretadmirer .blogspot | All Righted Reserved