>

Tuesday, March 26

Paradigma dunia ( Soalan 1)


Kalau cinta yang dicari, aku bimbang aku tidak setia.
Kalau agama yang dihajati, aku curiga amalku tidak sempurna.

Kalau diriku yang ingin dimiliki, aku harap itu dalam 
redhaNya.







Ini sebab manusia tidak mampu terbang, 
kerna dengan hanya berjalan berapa ramai manusia bongkak.



Gambaran 1
Dalam hidup berkeluarga. Pasti akan timbul perbezaan. Walau waktu kecil ibubapa membesarkan dengan makanan yang sama tetapi perangainya pasti berbeza. Kesukaannya juga akan ada perbezaannya. Itu satu keunikan yang perlu dihadapi. Bukan ini menjadi persoalan, tetapi sejauh mana kita cuba menghargai satu sama lain. Sejauh mana kita cuba menjaga perhubungan ini agar ianya kekal dengan pencorakan yang halal untuk dicucuri?

Gambaran 2
Dalam melakukan tarbiyah. Ada kala niat itu baik tapi apabila tanggapan yang salah itu mudah dilontarkan. Itu bisa menjadi salah. Ada insan yang baru cuba untuk berubah. Bukan semua insan dibesarkan dalam komuniti yang sihat. Ada yang membesar dalam kegelapan tetapi mula ke arah pencerahan. Maka, mengapa perlu disisihkan pada yang nampak lain kesesatannya?

Gambaran 3
Dalam berkasih. Ada masa kasih sayang itu tidak perlu ditunjukkan kepada semua. Bukan apa, kadang kala ianya menyakitkan biji mata. Ada masa hati ini sakit untuk memandang, bukan kerna perasaan cemburu di dalam dada tetapi bimbang bila diri kau ditinggalkannya mulalah mencaci perampas si dia kononnya kau adalah dewa cinta yang turun dari syurga. Mana kemaafan yang dulu selalu kau jaja?

Gambaran 4
Ada yang kata, tidak perlu untuk bermain kata. Kerna bimbang permainan kata itu menimbulkan godaan di jiwa sang pemuja. Saya tidak menentang sekerasnya. Tapi, ada masa mainan kata ini membuka minda. Hati mudah terusik dengan kata-kata. Jiwa mudah segar mekar dengan susunan kata. Lebih baik bermain kata daripada mainan perasaan jiwa. Tidak semua yang bermain kata semuanya pemain cinta. Masih ramai yang setia tetapi tidak kau jumpa. Hanya kerna hati kau terluka dengan mainan seseorang jejaka maka kau konklusikan kepada semua?

Gambaran 5
Dunia masa kini. Penuh pancaroba. Bukan seperti dulu. Hari ini ada masa batasan sudah dicampak ke tepi. Nafsu berahi adalah sesuatu yang perlu dipenuhi. Pedulikan karma dunia ciptaan serangkap puisi. Kerna mimpi adalah sesuatu yang kau hajati. Nyanyian serambi yang suatu masa berzikir di dalam hati. Kini hanya tinggal sekelumit noda yang berteman di sisi. Bila mula hilang harumnya kasturi maka hanya datang busuknya kasih sang pemuja yang kau anggap si dewa dewi. Dan adakah masa ini baru kau tahu apa punca mawar itu penuh dengan sang duri?

Gambaran 6
Manusia itu penuh dengan perbezaan. Masing-masing ada agenda. Kau sendiri punya tentang diri kau sendiri. Maka mengapa harus mencaci bila diri sendiri bukannya suci? Mengapa mengutuk bila ada masa diri kau tak terlepas daripada perlakuan terkutuk? Mengapa mengata bila kau sedar kau jua tidak sempurna? Kau nak apa sebenarnya? Nama yang ternama? Pangkat yang besar seadanya? Harta yang berjuta? Atau kasih Tuhan yang tiada tolak bandingNya? Itu semua pilihan kau di dunia. Maka berbaloikah bila diri yang kau jual hanya kerna sesuatu yang hanya mainan sementara?

Gambaran 7
Dalam meniti perjalan kehidupan. Segala wajah dan warna kehidupan akan sentiasa menjadi kenangan. Kesilapan cuba jadikan peneman. Kebaikan cuba kau jadikan pedoman. Agar kesilapan tidak lagi berulang, kebaikan tidak lagi membawa kau ke arah kemusnahan. Bukan segala hitam itu penuh dengan keburukan. Ada masa hitam itu berubah menjadi bara. Bara api bagi membakar segala noda sebelum kau menuju ke arah yang Kuasa. Yang mati tidak perlu dirindu selalu tapi cukup doa mengiringi. Yang hidup bersedia untuk disahut agar perjuangan tidak akan dikesali. Ada masa bukan segala yang kau ingini akan kau miliki tetapi itu tidak bermakna sang Ilahi sudah lupakan diri cuma dia sedia untuk menguji agar dirimu senantiasa mengingati. Lalu, adakah tugu imanmu masih lagi goyah dengan mainan nafsu sang topeng kemerahan?

p/s: 

Blog saya kalau dibaca bukanlah penceritaan mengenai diri saya.
Benar, itu kalau dibaca dengan teliti.
Tapi, ianya adalah suatu kisah tentang diri sendiri kalau anda mengenali diri ini dengan mata hati.

Saya tidak pernah terlepas daripada melakukan dosa. Saya juga pernah melukakan dan terluka.
Tapi kedukaan ini tidak pernah membuatkan saya berputus asa bagi kembali ke arahNya.


Saya juga manusia biasa yang inginkan cintaNya yang luar biasa.

*bakal bersambung*

No comments:

Copyright © 2010 |Learntobetheperfectsecretadmirer .blogspot | All Righted Reserved