>

Monday, March 4

Lukisan hati.

magnetsandmiracles:

The brilliant philosophy of a 1st grader.

Semalam, kawan saya "call" saya. Kata ada masalah. Perihal cinta katanya. Dalam hati saya tertanya-tanya. Apa kaitan saya dengan masalah cinta dia. Saya tertanya juga adakah saya ini doktor cinta. Pun bukan! Maka, saya mula sedapkan hati saya, cuba untuk merangsang minda bahawa kawan yang baik adalah kawan yang sentiasa ada di sisi rakannya. Tidak kira sama ada susah atau senang. Andai waktu dia ber"wang" saya akan mewah dengannya. Andai dia ditimpa masalah saya makan nasi bujang dengan kicap juga dengannya.

Katanya, teman lelakinya sudah tiada lagi rasa sayang padanya. Dia menangis teresak-esak. Sebenarnya, saya risau, bukan apa, saya lebih risau mengenai persepsi kawan baik dia terhadapnya. Bukan apa, saya tak mahu ada orang yang bersangka bahawa saya ini adalah lelaki yang membuatkannya menangis. Itu yang lagi merisaukan daripada cuba untuk memberi semangat kepadanya. Risau lagi apabila saya juga tidak pakar lagi dalam pujuk memujuk.

Selang beberapa lama, dia mulai tenang.
Saya lebih senang apabila dapat bercerita dalam keadaan dia masih waras.

Saya bukan ingin bercerita tentang apa yang diberitakan kepada rakan saya itu. Tetapi hanya cuba memberitahu bahawa ini adalah sesuatu perhubungan yang perlu dijalinkan sesama rakan. Apabila seseorang itu mempercayai maka apa jua kekusutan akan cuba untuk diluahkan walau dia tahu kadang kala keputusan rakannya itu tidak langsung membantu. Namun sekurang kurangnya dia tidak terus menunggu dalam keadaan buntu. Tingkahnya tidak terus menjadi kaku.

Waktu kecil, saya ada seorang kawan cina yang saya sangat rapat dengannya. Waktu tadika, dia pernah tanya awak suka perempuan macam mana? Saya tahu waktu itu "kegatalan" sudah mekar dalam diri saya. Saya jawab saya mahukan seorang penjahit. Waktu itu saya tak tahu mengapa saya menjawab penjahit. Mungkin kerana saya suka melihat ketekunan bagi seorang penjahit. Keyakinan, kesabaran yang dimiliki.

Bila makin meningkat dewasa saya tetap merasakan bahawa wanita yang pandai menjahit sememangnya memikat. Mungkin kerana seninya. Saya tahu, hati yang luka tak mampu dijahit walau memiliki benang emas. Tetapi sekurang-kurangnya ia masih mampu dirawat hingga ada kalanya ia membawa kepada satu pengalaman yang baru. Pakaian yang koyak ada kalanya mampu pulih dengan warna kain yang baru. Begitu juga kehidupan.

Menjadi seorang lelaki sememangnya sesuatu yang sukar. Bukan kerana apa kerana kami mempunyai banyak pilihan dalam memilih teman hidup. Tetapi malangnya apabila ramai lelaki mudah untuk jatuh cinta pada perempuan yang sama. Soal hati tidak mampu untuk dipersoalkan.

Apa yang penting, tidak kisah apa pun pilihan kita. Jangan pernah cuba untuk meluka.
Di akhir perbualan kami, saya sarankan untuk dia cuba melukis.

Perkara yang baik tentang sebuah lukisan adalah kita tidak perlu bimbang sama ada ianya cantik atau tidak dipandang mata. Kerna ia sebuah seni. Tetapi apa yang mampu kita pelajari daripada lukisannya adalah ia tidak akan pernah mati.

Kita mampu melukis sebuah karya kita sendiri dan apa yang paling terbaik apabila hanya kita yang memahami. Mungkin ada yang lain akan turut memahami tetapi tidak benar benar mendalami. Lukisan yang baik adalah apabila ia terbit dari hati dan walau jasadnya mati kenangannya tetap akan terus bersemi.

Coretlah lukisan dengan kehidupan yang tersendiri asalkan ianya hadir dari hati.

p/s:

Tak perlu jadi doktor cinta untuk merawat sakit cinta. 
Sebab ada kala doktor pakar sendiri tidak mampu mencari penawar bagi yang bakal mati.
Soal maut sama seperti hati, keduanya tidak mampu diketahu bila ajalnya dan bila lukanya.
Apa yang penting sama ada kita bakal menjengah ke sana nanti atau kita bakal terluka hati.

Kita diberikan penawar awal daripada Ilahi, 
Al-Quran mukjizat nabi.


ameen.



No comments:

Copyright © 2010 |Learntobetheperfectsecretadmirer .blogspot | All Righted Reserved