>

Tuesday, August 30

Coretan Aidilfitri



Kini. Harinya telah tiba.
Sayup-sayup kedengaran namanya disebut di segenap penjuru alam.
Manusia mula mengagung-agungkannya.
Dan ini saatnya.
Mungkin ini saatnya untuk berduka. Berduka untuk menyesali segala kesilapan yang pernah ada.
Bukan apa.
Kadang kala perbuatan kita mengguris jiwa.
Kadang kala kata-kata kita mematahkan persoalan bicara.
Kadang kala hati kita terusik dengan permainan jiwa.

Untuk hari yang mulia ini.
Yang jauh kita dekatkan.
Yang dekat kita kasihkan.
Yang kasih kita cintakan.

Mungkin dahulu kita sukar berjumpa. Ambillah peluang ini untuk bertegur sapa.
Mungkin dahulu kita bertelagah hingga lupa dunia. Ambillah saat ini untuk memaafkan segala silap yang ada.
Mungkin dahulu kita jarang menziarahi pusara tercinta. Ambillah tika ini untuk menziarahi dan mendoakannya.

Siapa tahu. Esok mungkin kita sakit.Dan lusa kita dijemputnya.
Siapa tahu. Esok kita berdosa. Lusa kita diampunkannya.
Siapa tahu. Esok kita berduka. Lusa kita kembali bahagia.

Kerana kita tidak tahu aturan kejadiannya.Tapi Dia senantiasa memberikan ruang untuk kita dekat dengannya.

Raya ini bukan hanyalah makan ketupat lontong dan sebagainya.
Tetapi Raya ini adalah suatu anugerah yang istimewa selepas kita dikurniakan satu bulan yang bercahaya.
Raya ini bukanlah hanya sekadar ziarah menziarahi dan bertegur sapa.
Tetapi Raya ini adalah untuk kita saling memaafkan dan melupakan segala silap yang ada.
Raya ini bukanlah hanya sekadar simbolik rumah terbuka dan duit raya.
Tetapi Raya ini adalah satu hikmah daripada yang tercinta mengambil segenap peluang yang tidak selalu tiba.

Dan Raya kali ini lebih bermakna.
Kerana kita dimerdekakan sebagai seorang hamba yang Esa.
Kita juga turut dimerdekakan daripada jajahan oleh sebuah negara kepada sebuah negara.
Mungkin ada yang kata minda kita masih lagi dijajah.
Tetapi lupakanlah sekejap untuk seketika.
Kerana sekurang-kurangnya kita masih mampu hidup dalam sebuah negara yang aman damai.
Kita pelbagai bangsa.Kita berbagai agama.
Tapi kita tidak pernah peduli hitam itu hodoh. Sepet itu jelek. Kemek itu pelik.
Apa yang kita tahu hanyalah cuba untuk saling sayang dan menyayangi.

Bersyukurlah untuk satu nikmat yang agung ini.
Berterima kasihlah untuk satu kebahagiaan yang tercipta.
Dan berbahagialah untuk kemerdekaan negara yang tercinta.Serta Hari Raya yang bahagia.

p/s:

Kita mencari satu keraian di dalam hati,
Kita mendapatnya dalam sambutan si Aidilfitri,
Kita mencari satu erti keamanan,
Dan kita mendapatnya dalam Hari Kemerdekaan.

Moga Syawal kali ini memberikan 1001 makna kebahagiaan dalam sebuah ikatan kekeluargaan.
Pulanglah pada mereka yang jarang berjumpa dengan insan tersayang.
Pandulah dengan berhemah kerana yang tercinta pasti sabar menanti.
Jamulah dengan juadah yang bermacam-macam agar hari ini pasti diingati.

Dan. Gembiralah di Aidilfitri ini dengan hati yang suci.
Kerna kita tidak tahu mungkin tahun seterusnya kita tiada berjumpa lagi.


Salam Hari Raya Aidilfitri dan Selamat Menyambut Kemerdekaan Negara 54.
Mohon diampun untuk salah dan silap selama perkenalan.
Ikhlas dari kamar hati.

-Ahmad Syakir Salman Salleh@Abdul Latif-



Dan hadirnya ia hanya sekali
Tetapi rahmatnya itu sudah mencukupi.


No comments:

Copyright © 2010 |Learntobetheperfectsecretadmirer .blogspot | All Righted Reserved