>

Thursday, July 7

Hilang.



Dia hilang dalam sebuah drama karya dirinya sendiri.Segala penat lelah, suka duka, pahit pedih perit di jiwa yang ditanggung selama ini ditahannya. Kesakitan dalam serta luaran menjadi peneman setia hidupnya. Namun, dia tidak pernah merungut. Fikirannya langsung tidak pernah kusut untuk mengubah nasib hidupnya.
Di satu sudut, dia tahu bahawa dia bukanlah seorang pendeta untuk menilik nasibnya sendiri. Dia juga bukan seorang pencerita untuk menceritakan kisah hidupnya kepada orang lain. Namun, di benak hatinya dia sememangnya sedar bahawa dia adalah seorang pementas yang berjaya.

Dia tidak mahu bermegah dengan kejayaan namun akhirnya musnah ke lembah kehinaan.
Dia tidak mahu berbangga dengan kekayaan namun terhumban pula ke arah kesesatan.
Dia tidak mahu berbekalkan dengan keagungan namun terperosok terus kepada kemurkaan.

Cukuplah untuk dia hidup bersederhana tapi bahagia.
Memadailah bagi dia hidup seperti biasa tapi tenang.
Eloklah untuknya hidup begitu tapi bertemankan Tuhan yang Esa.

Dia tidak mahu hilang dalam khayalannya sendiri.Cukuplah bagi dirinya untuk hanya singgah di sebuah khayalan.Menjadi seorang pengembara yang hanya berjalan-jalan mencari sebuah pengalaman.Biarlah dia hanya merantau mencipta sebuah kenangan.Indah sudah bagi dirinya untuk bersiar-siar mencari pengetahuan yang berharga.

Sesungguhnya dia tahu sekiranya dia terleka lalu hilang dalam khayalannya maka pastilah dia akan melupakan sesuatu yang paling berharga dalam kehidupan persinggahan ini. 

Dia tidak mahu pula untuk hilang daripada kasih sayang Penciptanya.

p/s: Perjalanan ini tidak akan terhenti hanya di sebuah persinggahan sahaja.Ianya akan terus berlalu.

No comments:

Copyright © 2010 |Learntobetheperfectsecretadmirer .blogspot | All Righted Reserved